SEEKOR ULAR BESAR MELINGKAR DI DADA BANTAL

Menggelunsur ia dari sudut rimba
meredah paya kaya harta
lalu ditelan buah mutiara
dibelitnya pohon pinang ekonomi
ia tidur berdengkur
dengan mimpi indah.

Menggelunsur ia melalui tengah kota raya
meredah dataran megah Putra Jaya
lalu mengenali seekor merpati cantik
dikasihi penuh cinta abadi
di kamar,
ia melingkar di dada bantal
tidak sedar sisik bertukar pudar.

Menggelunsur ia kian berani
kononnya memimpin ke arah demokrasi
empayarnya belukar
akan dibina litar lumba para ular besar
kemudian rimba akan dipeta
dibina istana cinta
pusat pemerintahan puaka
muzium rahsia.

Seekor ular besar melingkar di dada bantal
dengan dada berdebar-debar
antara menang dan gagal
akhirnya tak sedar

PPSB DALAM PLKN

Para rakan-rakan, apakah kerabat semua tahu PPSB? PPSB ialah Program Penghayatan Sastera dan Budaya yang menjadi salah satu komponen dalam PROGRAM LATIHAN KIHIDMAT NEGARA. Apakah rakan-rakan terlibat dalam program ini?

Sekali pandang, program ini amat sesuai dengan kerabat penulis dan aktivis Sastera seperti kita. Namun terlalu banyak baik buruknya. Baiknya, kita dapat mengajar apa matlamat sastera seperti yang kita pelajari. Kemudian, kita akan tumpahkan sastera kepada para pelatih yang pada penghujung programnya amat menyeronakan. Buruknya, program ini dilibati oleh orang yang bukan kerabat sastera sehingga ada yang tidak mengenali sastera yang sebenarnya. Malah sastera dijadikan sebagai medan mencari keuntungan sedangkan apa yang patut dicurahkan tidak berjaya sampai ke generasi kita. Paling buruk, bila pihak empunya program ini tidak mementingkan sangat siapa yang harus merajai program ini.

Sayang sekali kerana sastera tidak begitu berjaya tetapi sekadar menjadikan ia sampai kepada wira dan wirawati sedangkan matlamat program juga tidak tercapai. Pihak penganjur tidak begitu percaya terhadap aktivis sastera yang sebenar dan malah percayakan pihak yang senang mereka arahkan. Bila kita menegur dan menunjukkan cara, kita pula dijadikan pilihan kedua dan ketiga. Apa pula cadangan rakan-rakan sekalian.