cerpen KAMI BUKAN WARGA CAWAT - BERITA HARIAN, 28 OGOS 2009


Terjahan ombak benak beriak garang. Kocakan air sesekali melambung tinggi menandakan sungai Batang Lupar tersingung. Angin sentiasa bertiup deras, sederas air yang sedang mengalir. Sesekali warga dalam sungai Batang Lupar menampakkan diri. Pepohonan di kiri kanan sungai juga kelihatan bergerak bagaikan digoncang oleh mahkluk asing.

Satu perhimpunan di bandar kecil Sri Aman masih hangat. Di kedai-kedai kopi, semua orang berbicara akan masalah warga cawat dan bangsa mereka. Di pejabat-pejabat kerajaan juga sibuk akan hal itu sehingga randau dilanjut ke pejabat-pejabat pihak bertanggungjawab. Mesyuarat tergempar turut dibawa ke pusat pemerintah negeri. Namun, kemarahan warga bumi ini menyala-nyala. Api marah mereka merebak ke serata bumi kenyalang, lalu tersebar ke seluruh negara bernama Malaya Pada.

Aku sempat menatap seketika surat khabar sekali lagi. Aku seratus peratus memahami isinya. Lalu, mataku merenung ke arah keramaian manusia. Salah seorang memanggil. Aku melangkah goyah dalam perasaan yang berkecamuk. Berkali-kali aku berbisik “aku warga cawat?”.

Kasihan datuk nenekku. Kasihan keturunanku dihina penuh benci manusia bernama seorang pemimpin. Aku tahu mereka bangkit walaupun mereka telah mati ke dunia syurga. Aku sedar roh mereka berkeliaran di seluruh bumi Sri Aman hingga ke Batang Ai. Aku tahu Raja Rentap juga sedang memahami hinaan itu dalam keadaan marah. Mungkin sudah tiba waktunya Raja Rentap meniupkan semangat penuh kesabaran buat generasinya. Biar sang pemimpin berlidah racun itu diadili seperti dia mengadili hambanya Raja Brooke suatu ketika dulu.

“Utuskan warkah ke seluruh bumi. Kita bukan warga cawat seperti yang dikutuk!!” bentak seorang pahlawan muda kepadaku. Aku hanya mengangguk dalam keadaan aku direnung ribuan mata yang bernyala-nyala.

Keriuhan semakin mendesak suasana di seluruh bumi Sri Aman. Di khabarkan juga blog-blog, laman sesawang menjadi panas dengan isu warga cawat. Laman sesawang juga hebat mengutuk akan isu hinaan yang dilemparkan. Paling terasa, warga Batang Ai sudah menerima tempias bisa kata-kata sang pemimpin bermulut celupar itu.

Aku memberikan warkah yang ditulis kepada salah seorang pemimpin perpaduan. Dia merenung wajahku yang berkerut. Beberapa orang menghampiri kami. Kemudian beberapa kumpulan menyusul lagi dengan semangat juang tinggi.
“Bukan kerana nenek moyang kita! Bukan!” Teriak beberapa orang pemuda yang masih kemarahan.

Aku tahu memang budaya sirat adalah pakaian keturunan yang masih digunakan hingga hari ini. Sirat bukan cawat! Memang bukan seluar! Bukan juga baju! Makin bersirat, makin kelihatan segak seperti pahlawan yang tidak mudah ditembusi senjata. Apakah dengan sejarah bersirat kita terus dipandang rendah? Itu namanya bercawat? Aku menggeleng-geleng kepala apabila disentuh oleh seorang pemuda.

Kita bukan bangsa miskin! Kita bukan bangsa kuno! Kita bukan bangsa tumpul! Bukan pemalas! Bukan bangsa lemah! Kita pemilik sejarah hebat! Kita manusia terhebat! Kita pemimpin hebat! Kita lebih maju! Kita lebih maju ke depan! Bukan seperti mereka!!! Bergemuruh suasana dengan kutukan marah ketua perhimpunan. Dia memang seperti seorang pahlawan moden, bertepatan dengan gayanya berkot lengkap.

“Warkah anda lengkap! Anda generasi yang paling idea! Anda berhak memimpin kita!” ujar salah seorang pemuda yang jelas tidak gembira.
Aku hanya mengangguk.
“Semua tulisanmu sudah sampai ke destinasinya. Kita tidak perlu menelanjangkan diri dengan corak sirat keturunan!” ujar seorang tua yang sempat menggaru-garu kepala.
Tiba-tiba satu pengumuman menguasai suasana. Sepi seketika, hanya kelihatan orang ramai bersesak-sesak. Seorang pemuda dengan alat siaraya mengangkat tangan. Terlebih dahulu, air matanya dibiarkan menitis, jatuh membasahi hujung kasutnya.
“Kami bukan kaki kasut! Jangan kerana politik kaum dicaci! Jangan kerana parti, masyarakat berpecah-belah! Jangan kerana politik, budaya dihina! Pisahkan kami dari politik! Pisahkan kami dari dendam politik! Pisahkan kami dari kongkongan politik! Jangan menghina budaya bersirat! Kami bukan warga cawat!!” laungan keramat pemuda itu disambut oleh tepukan gemuruh.

Dadaku berdebar-debar menanti sebentar lagi rombongan dari Batang Ai akan datang. Juga beberapa orang pemimpin rumah panjang akan hadir, dengan suara bantahan. Dengar khabar, mereka akan datang dengan penuh kejutan. Dalam aku berdiri terpinga-pinga, keriuhan tiba-tiba terhenti. Aku memanjangkan pandangan:
Tikar bercorak tradisi dihambarkan. Lalu duduk beberapa orang tua bersirat dan berpakaian tradisi lengkap. Di tengah-tengah mereka, diletakkan alat upacara. Beberapa keping pingan berukiran naga diletakkan di tengah tikar berukiran. Juga, mangkuk khas kegunaan upacara. Dua ekor ayam jantan, ditambat pada satu tiang khas. Lima tokoh yang berwajah serius mula menjalankan tugas masing-masing. Sedangkan para hadirin terus menyaksikan gelagat mereka tanpa sesiapa pun berani bersuara dalam keadaan panas terik.

“Kita akan minta pengadilan dari leluhor! Kita bukan warga cawat yang menghina leluhor! Biar mereka menghukum mangsanya,” ujar seorang tua yang kelihatan ukiran tatu tradisi di segenap tubuhnya. Wajahnya berkedut menandakan dia tidak suka dengan kerjanya dalam usianya yang lanjut.

Pinggan batu berukir itu diserahkan. Diletakkan penuh berhati-hati semua alat yang digunakan. Beberapa ubat-ubatan turut diletakkan di sebuah mangkuk besar. Ketua miring mengambil terlebih dahulu semua kegunaan, dan diikuti oleh empat orang pengikutnya. Botol tapai dituang ke gelas dan diserahkan kepada setiap mereka. Kelima orang ketua adat berpandangan selepas menaburkan rendai ke udara.

“Bunuh ayam!” arah ketua adat.
Seorang pemuda mula memegang ayam jantan itu. Seorang lagi membantunya. Selesai tugas mereka, bulu ayam berdarah diserahkan. Bulu-bulu ayam itu diletakkan di dalam pinggan. Pinggan itu dibawa, diletak di tempat khas.
“Selesai!” ujar ketua adat sambil berdiri. Dia lalu mengarah beberapa orang pemuda membuat kerja mereka. Ketika itu tepukan gemuruh berdansa semula sehingga lubang telinga para hadirin memekak.
“Bakar!” Aku terdengar arahan seseorang. Dalam masa yang singkat, aku melihat asap naik. Aku melangkah dekat. Beratus-ratus bendera parti berwarna hijau berukiran bulan dibakar. Seorang pemuda mengangkat seguni. Seorang lagi mengeluarkannya, lalu dikoyakan mereka secara beramai-ramai. Kemudian, terus dilemparkan ke arah api yang sedang marak.
“Kita bangsa bermaruah! Kita bangsa beradat! Kita bukan bangsa berpolitik! Kita bangsa di bumi kita! Kita benci politik! Kita benci parti!!!” ujar pemuda yang memegang alat siar raya itu.
“Kita mahu sang pemimpin itu tarik balik kata-katanya! Memohon maaf!” ujar pemuda itu lagi.

Aku pula cuba meminggirkan diri dari kesesakan. Namun, seseorang memegang tanganku. Aku tidak berpaling, cuma sempat memandang beberapa orang bangsaku menitis air mata. Aku tahu, mereka kecewa kerana mereka terlalu kecewa. Mereka bangsa bermaruah, bukan bangsa yang ketinggalan. Mereka bencikan berpolitik. Mereka bangsa asalnya keturunan yang beradat. Bangsa kaya budaya! Bangsa yang sudah maju! Aku terus melangkah, mencari keasingan yang tanpa manusia.

“Politik membunuh perpaduan! Politik mencipta perpecahan! Politik penindasan! Politik tidak berbudaya! Parti bintang ialah parti jumud! Parti bintang jalang!!!” Aku melangkah dalam keadaan telingaku masih dilesit kata-kata tegas dari belakang.
“Kami bukan warga cawai!!!” Berkali-kali suara tegas, nyaring itu berkumandang.

LAMAN SESWANG BAHASA IBAN... antara percanggahan polisi media massa..

Alat terpantas pada masa ini adalah media dan teknologi maklumat. Pengaruh media dan teknologi maklumat tidak dapat disekat apabila ada pihak-pihak tertentu yang tidak dapat menilai kegunaan sebenar media massa ini. Undang-undang sedia ada seperti telah diketepikan dan garis panduan seakan boneka. Ini sedikit sebanyak menjadikan matlamat media dan teknologi maklumat sebagai penyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat tidak tercapai. Isu polisi, peraturan dan undang-undang media dan teknologi maklumat sudah tidak dihiraukan. Pada waktu ini, apa tindakan daripada pihak bertanggungjawab? Maka, perlu dipantau dan diberi kesedaran laman sesawang yang mengandungi isi yang boleh menjadi kemelaratan pegangan masarakat.
Analisis saya tertumpu kepada beberapa laman sesawang dalam bahasa Iban yang saya rasa patut dilihat sebagai pengajaran yang wajar. Antara laman sesawang yang saya maksudkan ialah www.ruaikitai.com, www.radiokitai.com, www.rumahpanjai.com, www.dayak.com, www.rumahdayak.com, www.anakiban.com, www.wandayak.com, www.jendela-kenyalang.ning.com, www.orangulu.com, dan sebagainya.
Mungkin perlu juga saya nyatakan bahawa laman sesawang ini antara yang terpenting sebagai wadah komunikasi generasi masyarakat dayak pada hari ini. Juga, sebagai padang subur yang menjadi pertemuan ghaib yang tanpa sempadan para muda-mudi. Namun, isu yang saya ingin bangkitkan adalah tentang laman sesawang dalam bahasa Iban ini yang telah longgar matlamat dan tujuan sebenarnya. Ternyata polisi dan peraturan juga longgar kerana terdapat laman web ini sebagai wadah yang mengandungi isu sensitif. Malah merebaknya percanggahan falsafah antara hak cipta dan penyebaran maklumat. Pemilik media massa jenis ini sudah tidak sedar tentang pengasingan antara hak cipta dan penapisan karya. Juga tidak mengenali antara kebebasan maklumat dan penyalahgunaan internet. Apa tindakan kita?
Antara laman sesawang yang berkualiti yang pernah saya jelajah ialah www.radiokitai.com. Laman sesawang ini digunakan dengan sebaik mungkin. Tidak keterlaluan kandungannya dengan ahli-ahlinya lebih berdisiplin dalam komunikasi perhubungan. Ia dikawal secermat mungkin. Kurang mengandung fitnah dan isu sensitif yang boleh menyinggung keahliannya. Laman sesawang www.ruaikitai.com mungkin memiliki kelebihan tersendiri. Juga, dianggotai ribuan cerdik pandai masyarakat dayak. Laman ini pernah ditegur oleh pihak kerajaan kerana keterlaluannya menyebabkan ia memiliki kualiti yang sebaik wadah lain. Pujian juga harus diberi kepada www.dayak.com dan www.rumahdayak.com kerana lebih memerinci tentang asal usul masyarakat. Juga mengandung tentang pembangunan masyarakat dayak dalam kehidupan. Laman sesawang www.orangulu.com hanya lebih kepada perbualan untuk pertemuan muda-mudi. Laman sesawang www.jendela-kenyalang.ning.com sebuah laman web baru yang pasti dicipta sebagai pembelajaran budaya.
Laman sesawang tadi tidak sehebat laman sesawang www.rumahpanjai.com kerana keahliannya sudah hampir mencapai sembilan belas ribu ahli. Laman sesawang ini didatangi muda-mudi yang bermatlamat seperti laman sesawang yangt lain. Saya memang tertarik dengan laman sesawang ini kerana lebih terbuka dan kawalannya amat longgar sekali. Pada laman sesawang ini, para ahlinya hilang kemoralan, tiada rasional batasan, tiada penentuan garis panduan, sikap keterlaluan ahli dalam forum, moderator hilang peranan, isu fitnah-memfitnah antara ahli, kandungan gambar keterlaluan dan sebagainya.
Maka, di sini, saya ingin menyentuh tentang Nilai Hak Cipta dan Penapisan Maklumat, Undang-undang Hak Cipta dan ‘Content Regulation’, Pengasingan antara Hak Cipta dan Penapisan, Internet dan Percanggahan Falsafah antara Hak Cipta dan Penyebaran Maklumat, Kebebasan Sivil dalam Era Internet-Kebebasan Bersuara dan antara Kebebasan Maklumat dan Penyalahgunaan Internet. Mungkin perlu juga saya menjelaskan bagaimana fitnah boleh berlaku dalam laman sesawang kerana kita harus sedar dan mengetahui tentang latar belakang kebebasan berkarya.
Laman web yang longgar peraturan seharusnya tahu keperluan polisi, peraturan dan undang-undang. Ini merangkumi Kecapaian Untuk Semua yang bertujuan baik agar masyarakat pengguna mempunyai peluang mendapat perkhidmatan media jenis laman web. kedua, Memiliki Keupayaan, yang mengandungi pengawasan melalui undang-undang pemilik laman sesawang. Ketiga, Keselamatan individu yang mendapat perlindungan. Keempat, Tersendiri Tanpa Gangguan yang menunjukkan keamanan. Kelima, Kerahsiaan yang juga merujuk kepada mendapat perlindungan agar tidak diganggugugat pihak yang tidak bertanggungjawab. Keenam, Kebebasan untuk menyatakan pandangan dan perasaan bukannya mencaci individu tertentu.

Hak Cipta dan Penapisan Maklumat
Hak cipta menjadi satu isu pada masa kini. Karya bukan sahaja boleh dijual melalui pasaran tetapi melalui laman sesawang. Juga, pemindahalihan manuskrip tersebut ke laman sesawang telah berlaku berlelusasa. Sama keadaannya dengan laman sesawang sembang yang juga dibawah kawalan agar sembang ahli tidak keterlaluan menyinggung perasaan orang lain, termasuk sensitiviti masyarakat sekitar. Pencetusan undang-undang hak cipta mengakhiri era dominasi individu penerbitan tetapi penggunaan hak cipta untuk mengawal penyebaran bahan-bahan bacaan masih berleluasa. Ini meliputi laman sembang yang kemungkin menjadi lapangan meluah suara yang keterlaluan. Ini mungkin satu demonserasi dalam diam.

Undang-undang Hak Cipta dan ‘Content Regulation’
Memang terdapat penghakiman kes-kes yang mengaitkan perlindungan hak cipta. Mungkin karya-karya penulis dipelihara sepenuhnya. Namun, laman sembang jauh berbeza kerana ia terlalu terbuka. Sembang yang tidak bertepatan dengan lunas-lunas etika dan adab juga akan diadili jika mengganggu sensitiviti masyarakat. Ini termasuk perkara yang bertentangan dengan agama dan adab, berunsur kucah, fitnah ataupun kata-kata yang bertentangan dengan polisi awam. Kata-kata yang sengaja dilepaskan semata-mata untuk mengenakan individu tertentu.

Pengasingan Antara Hak Cipta dan Penapisan
Akta Hak Cipta 1987 dengan terangnya menjelaskan di bawah Seksyen 7(2) bahawa: Karya-karya adalah dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya-karya itu dihasilkan. Tetapi bagaimana pula dengan laman sembang yang mengandungi butir-butir berunsur niat jahat, sensitiviti kaum? Ini jelas menunjukkan bahawa kandungan, idea dan indipati sembang yang berunsur niat jahat tidak akan mendapat perlindungan. Jangan dipandang ringan bahawa laman sembang pada laman sesawang kian menjadi medan perang komunikasi yang terpinggir tanpa kawalan serius.



Internet dan Percanggahan Falsafah Antara Hak Cipta dan Penyebaran Maklumat
Kemunculan teknologi internet adalah satu kemajuan yang menjanjikan satu wadah komunikasi unggul dan global yang tidak dibatasi masa, sempadan geografi, falsafah, politik dan agama. Internet menjanjikan gelombang perubahan sikap terhadap kreativiti dan ekspresi manusia, iaitu penyebaran maklumat berlaku di luar kawalan undang-undang. Di sini timbul persoalan, apakah internet betul-betul bebas dari kawalan? Apakah struktur internet itu sendiri tidak membenarkan kawalan? Tidak? Banyak cara yang boleh diambil untuk membataskan internet seperti dengan pengawalan undang-undang. Cuma, pelaksanaan undang-undang menimbulkan pelbagai masalah kerana kemungkinan satu-satu aktiviti dianggap salah oleh pengamalnya.
Merujuk kepada laman sesawang dalam bahasa Iban, apakah kandungan yang terdapat di dalam laman sesawang ini adil? Para ahli boleh menilai, melihat baik buruk pekara yang rimbul sehingga mereka sendiri boleh menghakim laman sesawang berkenaan. Contohnya, yang paling nyata ialah propaganda yang terdapat di laman sesawang seperti di www.rumahpanjai.com yang boleh memberi kesan buruk terhadap masyarakat dalam kerajaan mengutamakan perpaduan. Apakah sembang keterlaluan yang timbul dalam laman sesawang ini tidak dapat dikawal? Siapa yang patut mengawal laman web ini? Adakah ia mengikut lunas-lunas dan polisi media massa yang telah ditetapkan? Atau adakah mengikut tatacara bahan bacaan yang diinginkan? Ini tentulah masalah transborder timbul kerana undang-undang yang ada selama ini berdasarkan kepada konsep kewilayahan dan perlaksanaan berdasarkan kepada batasan geografi. Di mana pula peranan moderator laman web berkenaan?


Kebebasan Sivil dalam Era Internet-Kebebasan Bersuara
Cara komunikasi tradisional, walaupun sudah banyak berkembang dari segi teknologi, boleh dikategorikan mengikut jenis teknologi dan peralatan yang digunakan. Dalam soal perundangan, laman sesawang sembang sebenarnya mudah dikawal jika pemilik laman ini dikawal oleh pihak terbabit dengan cara penuh bertanggungjawab? Apakah laman sesawang dalam bahasa iban yang saya maksudkan bertanggungjawab?
Satu contoh ketara, terdapat laman sesawang yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan. Laman sesawang yang terdapat ramai ahli yang tidak menjaga kebebasan dan hak ahlinya. Malah dikatakan laman sesawang ini tidak profesional menjaga hak cipta ahlinya dengan menyingkirkan ahli-ahlinya yang cerdik pandai tanpa alasan. Laman sembang sebenarnya milik masyarakat kerana kita yang menggalakkan masyarakat mendaftar. Saya rasa laman sesawang rumahpanjai.com harus mengambil iktibar akan perkara ini.
Memang internet tidak dapat diklasifikasikan dengan mudah kerana bentuk-bentuk maklumat yang disampaikan berbeza daripada komunikasi persendirian seperti emel kepada penyiaran sesawang kepada orang ramai. Namun, sudah tentu perbezaan bentuk komunikasi ini perlu dikawal selia secara berlainan. Ini mengaburkan garis perbedaan antara penulis dan penerbit dan dalam banyak hal penulis mungkin menerima beban tanggungjawab sebagai penerbit sekiranya komunikasi peribadinya disebarkan kepada umum.

Antara Kebebasan Maklumat dan Penyalahgunaan Internet
Kebebasan yang diberikan tanpa batasan boleh mengakibatkan penyalahgunaan polisi media dan teknologi maklumat. Ini pasti akhirnya disedari oleh kerajaan. Dalam hal ini, Akta komunikasi dan Multimedia 1988 memperuntukan penubuhan satu Content Forum yang akan menentukan etika-etika dan garis panduan yang telah diikuti dunia siber. Seksyen 231 Akta tersebut membolehkan pengawalan bahan-bahan yang menyalahi (offensive) tidak sopan dan tidak senonoh. Membaca laman sesawang dalam bahasa Iban pada masa kini, terdapat laman sembang (forum) yang mengandungi komunikasi yang paling buruk ahli-ahli berdaftar.
Maka dengan ini, saya memberi penilaian bahawa sebahgian laman sesawang dalam bahasa Iban perlu diambil perhatian. Saya menilai bahawa sejarah telah membuktikan antara content regulation dan hak cipta merupakan satu perkahwinan yang menuju kepada kehancuran laman sesawang yang tidak dikawal. Kehidupam moden dan perubahan dasar adab dan pegangan agama bermakna pandangan asal dan kehendak agama tidak lagi terpakai. Akhlak dan adab harus dijaga. Cara sopan santun berkomunikasi harus dipelihara. Awasi pertentangan dan pertembungan budaya, kepercayaan dan agama agar tidak diseksa oleh keganasan perang fitnah dan bicara mulut pendatang dalam laman sesawang kita.

Penulis dan Udang-undang Fitnah
Kita tahu, fitnah merupakan suatu perbuatan yang dilarang oleh agama dan undang-undang. Kesannya, akan berlaku kepada perbalahan dan konflik dalam masyarakat. Justeru, undang-undang diperkenal dan dikuatkuasakan bagi menghindar daripada berlakunya perbuatan memfitnah, dan menghukum orang yang melakukannya. Terdapat tujuan utama undang-undang fitnah, iaitu untuk mencegah daripada berlakunya tuduhan fitnah. Ini amat jelas, menjadi hasrat undang-undang fitnah mencegah atau menghalang seseorang daripada melakukan perbuatan itu. Seseorang harus berhati-hati sebelum menulis atau mengucapkan sesuatu terutama yang menyentuh hal ehwal peribadi seseorang. Juga, undang-undang fitnah seolah-olah bertentangan dengan kebebasan rakyat untuk berucap atau menyatakan fikiran mereka.

Kesimpulan
Memang penting untuk masyarakat mendedahkan diri dengan internet dan teknologi maklumat. Tetapi perlu diguna secara baik menurut keperluan yang tidak menyalahi undang-undang yang sedia ada. Harus diingat, laman sesawang bahasa Iban pada masa kini sudah membuka satu lembaran baru dalam dunia teknologi maklumat. Ini menunjukkan komunikasi sudah membuka jurang bagi mendekatkan masyarakat pelbagai kaum. Juga, membentuk satu laman sembang yang tidak ada penapisan. Cuma kebebasan itu harus dikawal agar tidak merosakkan nilai masyarakat ke arah keruntuhan moral. Laman sesawang dalam bahasa Iban yang sedia ada boleh diperbaiki dengan janji pasti apabila pemilik laman sesawang berkenaan sebagai pengawal yang adil dan bertanggungjawab, bukannya sekadar untuk mendapat keuntungan semata-mata. Harus diingat, masyarakat juga boleh menilai dan menghakimi laman sesawang yang boleh merosakkan suasana perpaduan masyarakat.