HARI PEJUANG BAHASA 152 KUCHING SARAWAK

Saya bertuah juga menyertai Hari Pejuang Bahasa 152 di Kuching Sarawak pada 15-17 Februari 2011. Apa yang mengkagumi saya ialah ketika sesi forum yang disampaikan oleh tiga tokoh. Penyampaian tiga tokoh sangat berkesan dengan ketajaman yang menjurus kepada persoalan pokok.

Menurut Datuk Latip bahasa kebangsaan tumbang semenjak percubaan Tun Mahathir lagi sehingga peratusan peperiksaan jatuh meruntum. Malah 95% pelajar universiti menjawab dalam bahasa Malaysia walaupun soalan di dalam bahasa Inggeris. Inilah kebenaran yang berlaku selama ini. Apabila ditanya oleh pengerusi panel, kenapa? Datuk Latip menjawab salah tempat dan masa pembelajaran sains dan matematik dialih ke dalam bahasa inggeris.

Dr Janiri Amir pula sangat kesal dengan kerajaan Negeri Sarawak kerana persidangan Negeri Sarawak masih menggunakan bahasa Inggeris dan surat menyurat juga masih menggunakan bahasa Inggeris. Malah Universiti di Sarawak juga masih menggunakan bahasa Inggeris ketika mesyuarat. Apa jadahnya? Malah keseluruhan pejabat kerajaan dan swasta juga masih menggunakan bahasa Inggeris ketika membuat surat menyurat dan mesyuarat. Kata beliau lagi, ada pengurus di sesetengah institusi kerajaan tidak boleh berbahasa kebangsaan. Apa erti semua ini. Di manakah kedudukkan bahasa kita dalam perlembagaan 152?

Di antara semua Negeri, Negeri Sarawak masih tidak sepenuhnya menggunakan bahasa kebangsaan.

Di sini, saya tidak mengulas tentang panel forum ketiga kerana beliau nampak berhati-hati. Mungkin kerana beliau adalah kakitangan kerajaan. Tetapi saya sebagai seorang penulis dan pemartabat bahasa kebangsaan, ingin isu bahasa digunakan sebaik mungkin. Biar kita yang pelbagai kaum menikmati bahasa kebangsaan sebaik mungkin dalam urusan harian mahupun ketika bertugas rasmi. Dalam itu, tidak lupa juga akan bahasa etnik sendiri.

Terima kasih DBP kerana menjemput. Buat generasi penulis, berjuanglah bersama dalam memartabatkan bahasa negara kita. Jika negara Cina, jepun dan Fran boleh maju, negara kita juga maju dengan adanya bahasa kita yang kian menjadi global.