SASTERA PELBAGAI KAUM BUKAN SATU JENAMA LAPUK TETAPI SALAH DIERTIKAN!

Melewati tulisan Nisah Haji Haron, saya termenung seketika. Beberapa kali saya memikirkan perkara itu. Saya sekali lagi membaca keseluruhan isi tulisan berkenaan di ruangan Tunas Cipta Jun 2009. Sastera Pelbagai Kaum - Satu Jenama Lapuk? Saya mentafsir sendiri akan perasaan Nisah sama ada dia menerima atau menentang. Mungkin dia menentang kerana dia bukan etnik pelbagai kaum. Atau dia menerima. Atau sengaja membawa isu ini untuk ketengahkan.

Untuk menjawab tulisan Nisah, saya ada beberapa perkara lampau dan hari ini yang mungkin harus saya jelaskan. Persoalan saya, apakah penulis pelbagai kaum sudah terlalu mantap untuk bersaing dengan penulis lain? Pada saya, saya tidak berpuas hati walaupun Jong Chian Lai dan Prof Dr Lim Swee Tin sudah menonjol. Bagaimana pula dengan penulis muda pelbagai kaum? Apakah mereka akan dipandang dan diberi ruang di banyak festival dan bengkel seperti penulis yang sudah ada nama?

Saya masih memikirkan banyak aktiviti dan festival di seluruh negara. Malah penganjuran aktiviti sastera yang rancak ketika ini? Rata-ratanya tidak melibatkan penulis pelbagai kaum. Baru-baru ini, Pena telah menganjurkan pertemuan atau festival penulis Muda di Melaka. Atau bengkel! Saya diberitahu di mana penulis Muda pelbagai kaum. Juga, langsung tidak ada ruang untuk penulis Sabah dan Sarawak. Malah penulis dari Sabah tidak turut serta seorang pun! Penulis Sarawak yang hadir juga langsung tidak diberi ruang untuk bersuara.

Beberapa kali saya menyertai festival pelbagai Kaum, rata-rata 80% penulis Melayu menyertainya. Ini sudah menunjukkan bahawa perpaduan melalui istilah pelbagai kaum lebih menonjol daripada festival lain. Hanya berapa orang penulis pelbagai kaum yang hadir tetapi memang terhad. Amat beruntung juga kerana karya mereka dibicarakan, itu pun hanya ketika waktu itu. Sedikit sebanyak produk pelbagai kaum dibincangkan dalam satu skop yang cukup kecil. Oleh kerana itulah saya tegaskan bahawa Sastera pelbagai Kaum sedikit sebanyak boleh menemukan 0.02% penulis pelbagai kaum. Kalaulah Sastera pelbagai kaum satu istilah Lapok, maka ia mahu ditukar dengan istilah apa? Komuniti? Sastera Satu Malaysia? Atau apa lagi.

Jenama pelbagai kaum itu adalah satu-satunya ruang pertemuan penulis pelbagai kaum dengan penulis Melayu. Dengan adanya istilah pelbagai kaum, juga menunjukkan Malaysia memiliki ramai etnik penulis yang menulis dalam satu bahasa. Satu bahasa itulah yang akan menyatupadukan bangsa Malaysia. Sekali lagi saya terkesan dan rasa sedih juga dengan istilah agung (pelbagai kaum) yang dikatakan lapuk. Iya satu istilah yang telah menyatupadukan penulis. Iya satu jenama yang telah menghasilkan produk bagi penulis yang bukan Melayu. Kerap kali jika berlaku perubahan, maka perubahan itu akan menjadikan penulis kian terpinggir dan terpisah. Penglibatan juga akan menjadi terhad dan terpilih sahaja. Bagaimana pula dengan benih dan baka muda? Mungkin tidak akan di pandang dalam kehangat ribuan penulis tanah air pada hari ini.

Mungkin istilah ini LAPOK tetapi hasil perjuangannya SELAMA ini sudah memadai telah menonjolkan wajah-wajah penulis yang dikenali. Andai benar istilah ini hilang pada suatu hari nanti, apakah kelompok dan benih penulis pelbagai kaum akan bertambah? Atau apakah penulis ini tidak akan ketinggal dalam arus kerancakan sastera tanah air kita.

Saya masih memikirkan ruangan dada akhbar yang memilih sangat penulis. Karya-karya pelbagai kaum jarang sekali diterbitkan di dada akhbar UTUSAN MALAYSIA. Hanya dada akhbar BERITA HARIAN yang sesekalinya meletakkan karya mereka. Mungkin editor Utusan Malaysia tetap memilih karya penulis yang mereka hanya kenali atau penulis yang rapat dengan mereka. Inikah namanya satu kemerdekaan untuk membentuk Sastera Satu Malaysia. Payah ada jalan keluar untuk penulis pelbagai kaum seandainya suasana kongkongan berlaku. Walaupun berpuluh dan beratus karya dihantar, pasti tidak akan diterbitkan jika kongkongan sedemikian berterusan! Bertuah kerana istilah pelbagai kaum berterusan dan sekurang-kurangnya wajah penulis ini direnung seketika!

Sekian!

Penulis Muda Pelbagai Kaum dlm Penulisan Kreatif

Saya membeli TUNAS CIPTA Juna 2009 - saya tertarik dengan tulisan Khairul Nizam tentang perkembangan Penulis Muda Pelbagai Kaum. Ini satu pujian yang patut saya ucapkan kerana penilaian sedemikian tidak terarah kepada satu bangsa dan satu etnik. Pada keseluruhan laporan sdr. Khairul Nizam tidak hanya tentang penulis pelbagai Kaum di Semenanjung tetapi meliputi Sabah dan Sarawak. Memang agak terperinci tetapi tidak merangkum penulis muda yang baru naik namanya. Contohnya Frankie Latit, anak Jong Chian Lai yang saya lupa nama nya. Begitu juga beberapa orang lagi penulis muda dari negeri Sabah.

Kehadiran penulis muda ini sudah semestinya sebagai barisan yang membawa produk yang berbeza hasil karya mereka. Ini juga merancakkan suasana sastera itu sendiri agar tidak dipelopori oleh satu-satu bangsa. Cuma sesekali wajah penulis pelbagai kaum ketinggalan dari sudut penglibatan. Kalau tidak kerana jenama pelbagai kaum, maka tidak kelihatan penulis muda pelbagai kaum. Oleh kerana itu saya masih berpegang kepada istilah pelbagai kaum. Ia membentuk Sastera Pelbagai kaum yang benar-benar akan menyatupadukan kelompok penulis. Malah sudah pasti karya penulis pelbagai kaum turut dibincangkan.

Dengan bahasa Melayu sebagai wadah yang diutamakan. Maka, ini sudah semsetinya merancakkan lagi suasana sastera tanah air. Trima kasih sdr. Khairul Nizam.