Menulis adalah kerja keabadian yang jarang sekali individu lain ambil penting sepenuhnya. Manusia yang boleh menulis sehingga melahirkan karya adalah individu yang bertuah dan sangat peka terhadap suasana sekeliling dan masyarakat. Sesiapa pun boleh menulis tetapi sampai ke tahap mana stamina kepenulisan mereka? Bagaimana corak kepengarangan mereka? Baik? Cemerlang? Mengkagumkan? Atau di sebalik ketiga-tiga persoalan di atas.
Membaca Empayar Melakut Sepi adalah amat mengejutkan saya. Bukan apa, kerana saya telah membaca karya asal berkenaan. Frankie Latit menyusulkan karya berkenaan kepada saya yang lemrannya tebal lebih lima belas muka surat. Alangklah buruknya perkataan dalam karya berkenaan. Saya belum habis membaca karya berkenaan, tetapi sempat memberi penjelasan sekadar memperbaiki keadaan. Saya mengatakan bahawa terlalu banyak dialog yang panjang sehingga sangat mengotorkan isi keseluruhannya. Banyak isi dalam setiap perenggan kosong yang tidak berguna. Perenggan itu harus dikorbankan. Malah ada dialog yang panjang lebar tidak berguna harus dibuang. Saya menerangkan bahawa karya ini bagus tetapi dikotori oleh dialog yang banyak dan panjang serta perenggan yang tidak penting.
Membaca WBS pada 11 Februari 2009 (Rabu), saya diselerakan kejutan karya berkenaan. Saya rasa saya kenyang. Saya seronok membacanya. Kenapa? Satu, bahasa yang digunakan oleh Frankie cukup bertenaga. Bahasanya indah dan terurus. Ia seperti gelombang yang begermersik di lautan dengan tiupan angin sepoi-sepoi. Kalau ada kritikan yang keterlaluan, maka pengkritik berkenaan tidak menikmati karya berkenaan sebaik mungkin. Malah jalan cerita cerpen berkenaan juga tersusun rapi kerana bahasa yang digunakan sangat baik. Jarang kita melihat penulis muda menghasilkan bahasa bertenaga dalam sesebuah karya. Saya banyak kali melihat dan membaca karya di WBS tetapi karya Frankie yang terbaik. Saya bukan memuji tetapi setelah membaca setiap keluaran WBS pada Rabu setiap minggu. Selepas ini, Frankie layak memenuhi YIIB dan Dewan Sastera. Saya bukan mengangkat beliau tetapi itulah kebangkitan seorang penulis yang benar-benar memberi tumpuan. Maklumlah beliau seorang ahli perniagaan yang kecil-kecilan. Masa menulis mungkin lebar. Tidak sia-sia saya mengajar beliau selama ini. Malah saya mengingatkan beliau agar jangan pentingkan harta tetapi kualiti karya. Maka, kualiti itu adalah jenama Frankie.
Meneliti keseluruhan dasar jalan cerita, apa yang dikisahkan berkisar tentang harta milik orang kampung bagaimana cara ia dirampas. Frankie pula mengungkaikan apa yang berlaku agar masyarakat kita sedar dan bersedia menghadapi keadaan. Beliau juga ingin memberitahu bagaimana selisih faham manusia sehingga mengalah sahaja. Mereka hanya memprotes dengan kata-kata tetapi sanggup berpindah. Saya rasa Frankie cuba menyedarkan masyarakat yang kejam, dan tidak langsung menjaga keharmoniam orang kampung. Di sini, dipaparkan juga sudut politik sudah tidak dapat diharapkan menjaga kepentingan orang kampung. Saya tahu banyak simbol yang Frankie gunakan bagi menepis kebenaran manusia dengan sikap marah terhadap pihak penjajah yang sewenang-wenangnya merampas tanah warisan orang tempatan.
Saya tidak terpanggil untuk mengulas karya ini tetapi cukuplah sekadar mengatakan karya ini amat kuat sekali diantara penulis muda Sarawak sekarang. Beliau bakal meletup suatu hari nanti kalau diberi peluang. Namun, apakah kekuatan beliau akan terbela seperti Douglas Jaga yang hilang nama. Atau seperti beberapa orang penulis Sarawak yang terserlah dahulu tetapi kini dipinggirkan. Atau ada lagi yang baik, kemudian sengaja disingkirkan.
Kekuatan Frankie ini pasti kelihatan apabila saya membaca bakal beberapa buah karyanya. Saya berani katakan, Frankie akan berdiri sendiri sambil penulis mapan membantunya. Saya juga menanti sebuah karya di ruangan WBS mendapat anugerah HPPS suatu hari nanti.
Pesan saya, harap Frankie terus berkarya dan hasilkan karya yang bermutu. Kalau boleh jangan mudah meniru cara orang lain dan kita kena hasilkan jenama kita. Juga jangan mudah diperdayakan. Ujian yang paling besar adalah apabila kita diuji oleh pengkritik dan editor yang menyiarkan karya kita. Harap terus menulis.