PENCERAMAH BUKAN MURAHAN

Siapa penceramah? Mereka individu yang memiliki kelebihan daripada individu-individu yang lain. Mereka golongan yang profesional dalam satu bidang ilmuan yang mereka perolehi melalui pendidikan. Atau mereka manusia yang berpengalaman. Namun mereka tetap insan biasa.

Penceramah, pembimbing, fasilitator dan panel dalam sesuatu peraduan kebudayaan adalah murahan? Masalah ini harus dipandang serius oleh institusi, badan-badan kerajaan dan organisasi-organisasi yang sering menganjurkan sesuatu aktiviti berbentuk ilmiah mahupun kebudayaan. Atau bengkel sastera.

Apakah imbuhan yang mahu diberi kepada golongan profesional ini? Sebatang pen? Beg? Piala berbentuk kristal? Buku-buku? Ah, sagu hati yang remeh-temeh? Layak ke benda ini diberi kepada penceramah?

Rata-ratanya golongan cendikiawan ini kerap kali merajuk dan rasa marah kerana tugas yang diberikan amat berat kepada khalayak umum tetapi hadiah yang diterima adalah hadiah murahan. Malah penceramah, fasilitator dan pembimbing bengkel menyediakan kertas kerja yang agak baik. Mereka juga perlu mengkaji dan menyelidik untuk ceramah yang disampaikan. Mereka juga terpaksa mengorbankan masa sehingga sanggup mengambil cuti tanpa bayaran daripada majikan mereka. Malah sanggup datang dengan duit ringgit mereka sendiri untuk mengisi minyak kenderaan mereka. Tetapi apa yang mereka perolehi daripada pihak penganjur? Tetap juga sebatang pen, beg dan perkara remeh-temeh yang telah banyak mereka perolehi selama ini.

Pernah suatu ketika dulu seorang penceramah terkenal membalingkan hadiah berbentuk kayu di depan khalayak ramai semata-mata tidak berpuas hati dengan hadiah yang diberikan oleh pihak penganjur. Perkara ini telah gempar di seluruh tanah air sehingga pada hari ini keadaan telah berubah. Penceramah, fasilitator dan pembimbing sastera dan kebudayaan di tanah semenanjung diberi hadiah berbentuk wang ringgit sebagai ganti titik peluh mereka yang sanggup meluangkan masa membantu pihak penganjur. Pihak penganjur pula tanpa diberitahu, telah sedar bahawa sagu hati dan hadiah berbentuk wang adalah berbaloi sebagai balasan usaha golongan ini.

Di Sarawak juga berlaku. Adalah tidak adil jika pihak penganjur terus menjadikan pembimbing dan penceramah sebagai orang suruhan mereka tanpa bayaran sesen pun. Sedangkan penceramah dan pembimbing ini penat menyediakan kertas kerja semata-mata menuang ilmu dan pengalaman mereka demi audien. Bukannya senang mengkaji dan menyelidik sesutu bahan yang diinginkan. Malah golongan ini perlu mencari bahan lebih sehinga sanggup berbelanja bagi mendapatkan bahan-bahan mereka.

Di harapkan selepas ini, pihak penganjur harus memastikan apakah imbuhan dan sagu hati yang mahu diberikan kepada penceramah, pembimbing dan fasilitator. Pada hari ini wang adalah penting dan segala-galanya untuk kehidupan. Hadiah yang remeh-temeh dan lapok itu harus dihentikan. Pihak penganjur harus memikirkan perkara ini.