ADAT IBAN HAK BANGSA IBAN, JANGAN DITUKAR SEBARANGAN

“Bejalai bebantal ke pengingat. Pengawa nitih ke adat.” Pepatah ini mungkin sudah lenyap dek senja suasana kehidupan kita dari sehari ke sehari. Hujan emas di bumi orang, hujan batu di negeri sendiri akan tetap kita rasakan. Pembangunan yang berganda juga salah satu gelombang yang memberi kesan, kian kita terpisah diselimuti budaya keturunan. Umpan pembangunan telah sedikit sebanyak memudaratkan hakikat kehidupan kita dari kongkongan adat budaya yang menjadi soal mahukan perubahan.
Mungkin boleh kita perhatikan tentang kedudukan bahasa kita pada hari ini. Bila bangsa Iban bertemu Iban, kita berbual menggunakan bahasa asing. Salah siapa? Di sini kita boleh menilai kebencian kita akan bahasa kita sendiri. Apa lagi untuk mengekalkan adat budaya khususnya pantang larang keturunan. Mungkin kerana itulah kita sewenang-wenangnya mahu mengubah sebahagian kongkongan yang dimaksudkan. Mungkin oleh kerana itu nasib sosial anak bangsa kita kian parah. Contohnya yang jelas masalah kahwin cerai. Kesudahannya yang memihakkan hanya sebelah pihak atau tidak dapat diselesaikan sampai bila-bila pun. Baru-baru ini dinyatakan statistik penceraian kaum Iban adalah yang paling tertinggi. Mungkin lebih melambung lagi jangkaan itu apabila yang berlaku tidak dilaporkan oleh segelintir keluarga ke pihak berwajib.
Saya menyokong kenyataan Wan Zain bahawa jangan ditukar sesuka hati Adat Iban yang khusus itu. Teguran Wan Zain sekadar mengingatkan sahaja bukan memandai kerana beliau bukan bangsa Iban. Mungkin beliau sudah melihat adat bangsa lain yang pupus musnah. Kita lihat jenama Orang Ulu yang hilang. Kita belum tahu keputusan jenama Dayak. Kita belum ada keputusan yang asas tentang etnik yang berkahwin campur. Di mana kedudukkan kita dalam suasana konsep SatuMalaysia? Apa lagi adat budaya kita yang sekadar seperti bingkai gambar yang tergantung di dinding hanya menanti untuk jatuh dan cerminnya pecah.
Dalam situasi ini, pemimpin harus lebih dedikasi dan memandang keseluruhan kemungkinan yang berlaku. Sebelum menukar sebarang pekara penting, harus dilihat terlebih dahulu akibat yang berlaku dengan menilai kebaikan dan keburukan. Harus bijaksana dengan melihat segenap sudut pekara. Ukuran itu tentulah melibatkan dalaman dan luaran setiap adat yang mahu diubahsuai mengikut suasana bandar dan luar bandar.
Baik bangsa kita dikongkong adat dari kita dibebani. Kalau kita dikongkong adat, maka identiti kita akan kekal. Kalau kita dibebani, kita lantas membuang bangsa kita selayaknya. Dalam suasana ini kita membuang identiti kita langsung. Sayangkan anak sehingga sanggup membuang budaya.
Seperkara yang menjadi tandatanya bagaimana terhapusnya budaya kita. Bagaimana pihak bertanggungjawab mahu mengembalikan suasana pesta Gawai seperti sedia kala. Jika kaum Cina terus mempertahankan budaya mereka. Kaum Melayu juga mempertahankan Hari Raya dan budaya mereka. Bagaimana pula kaum Iban yang tidak mempertahankan pesta Gawai? Tidak mempertahankan adat miring? Salah siapa? Berapa peratusan bangsa Iban masih mengekalkan adat miring? Adat apa yang harus kita guna pakai? Hanya dengan bersambahyang sahaja?
Datuk nenek kita tidak pernah bersambahyang ketika pesta gawai. Apakah kita harus mempersalahkan keturunan kita? Ini menunjukkan kita sewenang-wenangnya mengubah sesuatu. Sepatutnya pemimpin kita mempertahankan setiap adat upacara dalam pesta gawai. Apakah orang yang sakit akan sembuh apabila kita sambahyangkan? Mungkin tidak dan mungkin cara tradisional juga yang paling sesuai. Maka, saya menyeru kepada pihak berwajib agar adat dan upacara gawai harus dikekal dan setiap bangsa kita harus diajar kembali ke akar budaya kita. Kini jangan menjadi bangsa yang mudah berpaling tadah.
Biar mati anak asal jangan mati adat. Biar sesat di belantara asal jangan sesat adat. Melangkah ke depan bukan bermakna sewenang-wenangnya menjadi manusia pelupa daratan. Memandang ke belakang bukan kerana melubah cara membenci tetapi mengimbau kelemahan dan kelemahan itu yang harus diperbaiki. Sama juga keadaannya, generasi yang berpendidikan harus dilibatkan kerana mereka bakal menjaga adat dan budaya keturunan. Generasi muda harus didedahkan dengan acara budaya agar tidak lenyap begitu sahaja.
Pemerintah bangsa kita sendiri harus lebih peka dengan mengadakan lebih banyak aktiviti budaya daripada berbelanja dalam aktiviti politik. Harus ada dana yang disalurkan kepada persatuan dan pertubuhan yang bertanggungjawab. Ini sekurang-kurangnya cara pihak berkenaan masuk kampung bagi menjelaskan keadaan. Kesempatan ini juga untuk kita menjelaskan betapa pentingnya kita mempertahankan budaya kita kepada generasi muda sekaligus budaya itu dikekalkan. Dalam masa yang sama, kita menjelaskan pantang larang agar tidak dinoda kerana akibatnya besar. Kita harus menggandakan main asal adat iban agar boleh menjadi aktiviti hiburan di rumah panjang. Di sini saluran radio juga penting sebagai media yang menghebahkannya.
Pendek kata, jangan kita mengubah sesuatu adat mengikut kehendak yang diputuskan tetapi tidak meneliti asalnya. Makin banyak perubahan, maka makin besar kesannya. Maka, kian rapuhlah masa depan kedudukkan adat bangsa kita. Sama kedudukkan itu, apabila kita mengahwini orang asing maka asinglah kita. Bukan sahaja hilang budaya tetapi identiti juga akan hilang. Tidak percaya? Sudah ada kes anak kita hilang hak bumiputra.
Tidak mudah kita hilang hak budaya seandainya kita prihatin terhadap apa yang kita ada. Mudah kita lenyap hak budaya seandainya kita hidup remeh-temeh seadanya. Hidup harus bersyukur dengan identiti unik kita. Hidup harus memelihara jenama pusaka kita. Manusia yang tidak ada adapt budaya adalah binatang.