MEMBACA CERPEN ...PETI KACA DI YIIB

Salam buat rakan-rakan sastera.

Membaca ruangan Yang Indah Itu Bahasa cerpen ... Peti Kaca (terlupa judul) pada 7 Jun 2010 di Utusan Borneo, menjadikan saya sekali lagi terfikir. Pertama, saya mengandaikan karya-karya yang terbit mesti yang indah bahasanya. Kedua, karya yang terbit mesti baik jalan ceritanya. Ketiga, mesti penulisnya yang sudah dikenali. Dan yang terakhir, kekuatan bahasa karya-karya yang terbit di ruangan YIIB.

Sebelum membuat rumusan terhad, saya memohon maaf. Bukan maksud saya merendahkan pihak yang menguruskan ruangan ini tetapi semata-mata mahu menyampaikan rasa terguris. Karya yang terbit pada 7 Jun 2010 berkenaan cukup lemah dan cukup tidak sesuai untuk ruangan YIIB.

Saya ketawa sendiri bila membaca cerpen berkenaan yang bahasanya sangat teruk. Jalan ceritanya amat berterus-terang. Membaca cerpen berkenaan dari awal, kita sudah tahu apa kandungannya yang sebenarnya. Saya rasa, cerpen berkenaan juga masih tidak layak diterbitkan di dada Wadah Bahasa dan Sastera di ruangan Utusan Sarawak.

Bayangkan seandainya Dr Jeniri Amir membacanya. Sdr Jais Sahok juga membacanya. Mungkin seluruh warga sastera di Sarawak membacanya. Apa pandangan mereka? Saya rasa sudah tentu para aktivis sastera inginkan karya yang terbit itu yang terbaik dari karya kita. Bagi saya, saya semestinya mahu karya yang terbaik dari karya saya yang terbit di YIIB.

Sekali lagi saya memberi pandangan, biarlah karya yang terbit di YIIB adalah karya yang indah bahasanya, jalan ceritanya, dan yang benar-benar Yang Indah Itu Bahasa.